Saturday, 16 February 2013

PENGURUSAN KEWANGAN

Amalan pengurusan kewangan peribadi yang berhemah

Berikut merupakan antara beberapa kesilapan yang kerap dilakukan dalam menguruskan wang:
  • Sentiasa memberi alasan tidak ada masa sehingga gagal untuk merancang kewangan.
  • Kerap berbelanja dengan menggunakan kad kredit tetapi bayaran bulanan pula hanya pada tahap minimum.
  • Asyik memikirkan mengenai wang sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.
  • Berbelanja mengikut nafsu sehingga melebihi kemampuan.
  • Sering kali terlibat dalam pelaburan tetapi terlalu cetek ilmu yang ada mengenai produk yang dipilih.
  • Tidak mempunyai simpanan khas untuk digunakan ketika kecemasan.
  • Sentiasa menangguhkan untuk membuat simpanan hari tua dan terlalu mengharapkan simpanan KWSP ataupun pencen tanpa merancang dengan teliti keperluan sebenar sewaktu bersara kelak. 
 Tip menguruskan kewangan dengan bijak
 Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam merancang kewangan.
  • Pastikan setiap kali menerima gaji bahagian wang yang hendak dijadikan simpanan disimpan dalam akaun khas.
  • Cuba elakkan dari berbelanja menggunakan kad kredit, jika masih tidak dapat mengawal diri, cuba sedaya upaya melangsaikan hutang-hutang dengan cepat dan batalkan kad anda serta merta.
  • Rancang kewangan anda dengan teliti. Wujudkan pelan perbelanjaan peribadi khas yang meliputi perbelanjaan harian, mingguan, bulanan sehinggalah perbelanjaan tahunan.
  • Elakkan diri dari berhutang kecuali untuk membeli benda seperti kereta dan rumah. Jika tidak mampu, disarankan supaya anda menangguhkan dulu hasrat sehingga anda benar-benar mampu.
  • Amalkan sikap menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum melangkah pergi ke pusat membeli belah bagi mengelakkan anda dari membelanjakan wang untuk barangan yang tidak penting.
  • Jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan anda. Perkara ini hanya akan membebankan anda di kemudian hari.
  • Pastikan anda mempunyai tabungan khas bagi digunakan ketika kecemasan.
  • Adalah penting bagi anda memiliki insurans yang bersesuaian dengan anda atau keluarga. Pastikan peruntukan yang cukup disediakan bagi tujuan ini kerana apa yang pasti, malang tidak berbau.

Tip untuk membuat pelaburan bijak

Berikut merupakan beberapa tip yang dapat digunakan sebelum membuat pelaburan.
  • Kenali dengan jelas jenis pelaburan yang terdapat di pasaran. Sebagai contoh, pelaburan dalam pasaran modal seperti saham, bon, niaga hadapan, unit amanah ataupun dalam pasaran bukan modal seperti insurans, hartanah dan sebagainya.
  • Ketahui matlamat sebenar pelaburan yang bakal anda lakukan. Adakah ia bersifat jangka pendek atau pun sebaliknya.
  • Padankan matlamat pelaburan dengan profil pelaburan anda iaitu sasaran keuntungan yang anda inginkan dan juga risiko yang bakal anda hadapi. Pada dasarnya, pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, risikonya juga tinggi, sebagai contoh melabur dalam bursa saham. Begitu juga yang sebaliknya.
  • Setelah mengetahui kehendak diri, pastikan anda memilih produk pelaburan yang bertepatan dengan kehendak dan kemampuan anda. Sebagai contoh saham dan unit amanah adalah bersesuaian dengan pelabur runcit memandangkan modal awal yang diperlukan kecil berbanding niaga hadapan dan bon yang memerlukan modal awal yang besar.
  • Pastikan anda telah faham secukupnya tentang pelaburan dan membuat kajian terperinci tentang produk yang bakal anda pilih sebelum melabur. Jangan sesekali melabur berlandaskan naluri tanpa merujuk kepada apa-apa maklumat terlebih dahulu. Sebagai contoh jika anda ingin melabur dalam unit amanah, pastikan anda tahu jenis unit amanah dan syarikat yang menguruskan unit amanah itu. Rujuk prospektus pelaburan dan bandingkan antara beberapa syarikat yang menguruskan amanah sebelum memilih yang terbaik untuk melabur.
  • Cuba untuk fokus kepada matlamat pelaburan jangka panjang kerana ia lebih berkesan berbanding pelaburan jangka pendek yang lebih terpengaruh dengan apungan pasaran yang tidak menentu. Ini akan menjejaskan potensi pelaburan anda.
  • Amalkan konsep melabur secara pemurataan kos ringgit (dollar cost averaging). Konsep pelaburan ini membolehkan anda mendapat manfaat dari ketidaktentuan pasaran memandangkan pelaburan yang dibuat adalah bersifat konsisten, bukannya melabur sekali untuk satu jumlah tertentu pada satu masa sahaja.
  • Jika anda mempunyai cukup masa, wujudkan satu portfolio pelaburan peribadi. Ini adalah bertujuan mengurangkan risiko seandainya sesuatu produk yang anda pilih mengalami kegagalan. Portfolio bermaksud melabur dalam lebih daripada satu produk pelaburan.
  • Akhir sekali fokuslah terhadap matlamat pelaburan anda dan elakkan daripada dipengaruhi khabar angin. Elakkan juga diri anda dari tertipu oleh produk pelaburan palsu seperti skim cepat kaya dan sebagainya.

(SUMBER: FOMCA dan JAPEM)
Disediakan oleh: 
Institut Perakaunan Negara (IPN) 


SALIHA MOHD ALI
012-3864950 (  salihaprubsn@blogspot.com  atau email: saliha@prubsnadvisor.com )
PERUNDING PRUBSN TAKAFUL (8AI00320)
PUTRAJAYA-BANGI-SERDANG-KAJANG-NILAI